fbpx
Kegiatan buang sampah secara haram semakin menjadi-jadi

Kegiatan buang sampah haram semakin menjadi-jadi

Kongsi di Sosial Media

Hanya kerana sikap segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri, ada yang terpaksa hidup dengan persekitaran yang tercemar akibat mereka yang suka buang sampah haram mengikut suka hati.

Pantang sahaja jumpa lubuk sampah, pasti dibuangnya tanpa memikirkan kesan buruk yang terpaksa ditanggung oleh orang lain, asalkan masalah mereka dulu yang selesai.

Kes pembuangan sampah secara haram ini sudah lama berlaku dari sejak azali lagi.

Baru-baru ini terbaca salah satu artikel daripada akhbar Utusan Malaysia tentang masalah sampah haram di Taman Sungai Kapar Indah, Kapar, Selangor. 

Mereka yang menetap di situ meluahkan rasa ketidakselesaan dengan bau busuk dan kotor berpunca dari pembuangan sampah haram.

Lokasi longgokan sampah haram yang dibuang terletak di bahu jalan berdekatan dengan kawasan tempat tinggal mereka.

Penduduk runsing ada yang buang sampah haram di kawasan perumahan
Keratan Akhbar Utusan Malaysia
Sumber Akhbar: Utusan Malaysia

Menurut seorang penduduk di situ, Lim Kok Ping, 60, berkata, pelbagai jenis sampah haram yang dibuang termasuk sampah pukal, sampah kebun dan sampah dapur. 

Masalah ini sudah berlarutan sejak tahun 2017 lagi dan setiap kali aduan dibuat, Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan membersihkan sampah tersebut. Namun tak lama beberapa bulan selepas dibersihkan, sampah akan kembali menimbun.

Menurut sumber dari Sinar Harian pula, Kok Ping, berkata, sebahagian besar tujuan aduan dibuat bukan sahaja tentang isu kebersihan, malah yang lebih merisaukan adalah keselamatan serta kesihatan penduduk terutamanya kanak-kanak yang diserang asma akibat daripada pencemaran udara di sebelah malam.

Ini disebabkan oleh sampah yang dibakar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab pada waktu malam untuk mendapatkan logam di dalam kabel getah.

Seorang lagi penduduk, Arif Abdullah, berkata, selain dari tempat untuk aktiviti riadah penduduk berbasikal dan berjoging, lokasi tersebut juga merupakan jalan alternatif untuk ke taman dan stesen minyak.

Amaran pun sudah diberikan oleh penduduk berkali-kali kepada beberapa pihak yang masih membuang sampah di kawasan itu tetapi teguran itu tidak diendahkan.

Kok Ping (kiri) menunjukkan longgokan sampah haram di bahu jalan berdekatan dengan kawasan perumahan penduduk di Taman Sungai Kapar Indah.

Kredit Foto: Sinar Harian

Kenapa sampah-sampah haram tak boleh dibiarkan?

Ada sebab kenapa sampah tidak boleh dibuang sesuka hati, dan pihak berkuasa juga turut mengambil tegas tentang perkara ini.

Terlalu banyak kesan negatif yang memberi impak yang buruk. Bukan kehidupan kita sahaja yang terjejas, malah alam flora dan hidupan liar juga turut akan terganggu.

Selain dari keadaan sekeliling yang berbau busuk dan kecacatan pemandangan, ia juga turut akan menjadi faktor peningkatan denggi yang mampu menjejaskan kesihatan awam.

Nyamuk-nyamuk mudah untuk membiak dengan bekas atau sampah yang boleh menakung air.

Tambahan pula, ia menarik tikus, lalat dan lipas yang mana merupakan pembawa penyakit selain dari kekotoran.

Belum lagi masuk ke bab keselamatan, ada juga sampah-sampah yang terdiri daripada benda-benda tajam seperti pecahan kaca dan potongan tin yang boleh menyebabkan bahaya kepada sesiapa yang berada di kawasan yang kotor itu.

Akhir kata, pihak berkuasa perlu mengambil langkah-langkah yang lebih drastik untuk mencegah perbuatan yang tidak bermoral ini.

Sediakan papan tanda yang mengatakan tempat tersebut tidak dibenarkan untuk membuang sampah. Berikan hukuman atau denda yang lebih berat sekiranya ada lagi pihak yang masih berdegil.

Masyarakat juga tidak terkecuali untuk menjadi lebih prihatin dalam menitikberatkan penjagaan alam sekitar demi kepentingan bersama.

Buanglah sampah pada tempat yang sepatutnya seperti ke dalam tong-tong sampah yang telah diletakkan oleh pihak berkuasa.

Bak kata pepatah, “bersatu padu, bercerai roboh.” Sama-samalah kita banteras kegiatan pembuangan sampah haram yang hanya membawa kemudaratan kepada alam sekitar dan kepada diri kita sendiri.

Mahukan persekitaran yang bersih dan selesa?

Mulakan dengan pemilihan tong sampah yang betul dan sesuai. Lawati ke halaman Produk kami untuk dapatkan maklumat tentang pelbagai jenis tong sampah dan kegunaannya.


Kongsi di Sosial Media